Wednesday, January 30, 2008

Haji Hassan Pendekar

Haji Hassan Pendekar adalah gelarannya atau nama sebenarnya haji Hassan Bin Haji Mahat (dalam bulatan)


Haji Hassan Haji Mahat (Hj Hassan Pendekar)
Hj Hassan Hj Mahat merupakan ninda kepada almarhum Hj Hamid Hj Hamzah iaitu bapa kepada Hj Hamzah. Di beri gelaran ’Pendekar’ oleh Almarhum Sultan Ibrahim kerana kemashyuran dan ketokohannya dalam dunia persilatan. Ketika remaja Hj. Hassan Pendekar dan ayahnya berniaga ternakan ayam dan itik dari Kesang ke Singapura dan Kelang. Beliau berketurunan Bugis telah berpindah ke Sungai Mati, Muar dari Kesang setelah Sultan Ali menyerahkan Kesang kepada Almarhum Sultan Abu Bakar.

Hj Hassan Pendekar memiliki tubuh yang kecil mula mendalami ilmu persilatan dari ayahnya iaitu Hj Mahat pada usia remaja. Kemudian dia berguru pula dengan Hj Dollah Telok Mas yang terkenal dengan kehandalannya di Telok Mas, Melaka. Hj Dollah juga mashyur dengan gelaran ’Hj Dollah Polong’ kerana kepantasan pukulannya. Silat yang sering di pelopori oleh Hj Dollah ialah Kuntau Telok Mas. Pada zaman dahulu nama silat selalunya di ambil dari nama guru atau tempat asal guru yang membawanya. Di bawah bimbingan Hj Dollah, Hj Hassan turut mempelajari permainan senjata seperti keris, pedang, tumbuk lada, tekpi, pedang-perisai dan tembong.

Beliau kemudiannya telah mengajar ilmu persilatan ini di Sungai Mati, Muar. Sepanjang hayatnya, Hj Hassan Pendekar sering di uji dan menerima cabaran dari pendekar-pendekar melayu yang lain termasuk jga ahli kuntau Cina dan India. Lantai serambi rumahnya banyak di penuhi kesan darah kering pendekar kecundang mencubanya. Beliau juga pernah di cabar oleh penjual ubat berbangsa Cina yang juga seorang guru Kuntau yang tahan digilis oleh lori beberapa minggu sebelum meninggal. Malah, sebelum itu, pernah almarhum Hj Ismail dan almarhum Aziz Bai sengaja menguji dan menyerang Hj Hassan Pendekar dalam gelap tetapi serangan itu gagal menewaskan Hj Hassan dan mereka berdua ditewaskannya.

Sebelum meninggal dunia, Hj Hassan Pendekar telah mengijazahkan segala perkakas persilatannya termasuk gendang, senjata dan buku catatan yang mengandungi petua dan amalan kepada almarhum Hj Hamid dan Hj Ismail. Hj Hassan Pendekar telah meninggal dunia pada tahun 1958 dalam usia sekitar 120 tahun. Anak beliau iaitu Hj Hamzah juga seorang pendekar terlebih dahulu meninggal pada tahun 1942. Hj Hamzah tidak mengajar silat kerana menghormati ayahnya Hj Hassan sebagai guru.

Antara keistimewaan Hj Hasan Pendekar ialah bisa pukulan dan kepantasan kakinya. Sewaktu di cabar, Hj Hassan sering menggunakan 3 teknik untuk menumbangkan lawan-lawan iaitu buang dalam, buang luar dan petik. Beliau juga turut mahir dan mengajar titik sasaran lemah pada badan (vital point). Sebagai seorang yang terkenal dengan ilmu pendekar dan masak asam garam hidup, tabiat biasa beliau bila membuat pertunjukkan atau bertanding samada dalam atau di luar daerah ialah naik ke pentas memperkenalkan diri dan mempelawa sesiapa sahaja yang tidak puashati dan berhajat untuk mengujinya. Jika tiada yang berani, beliau menyuruh orang ramai mencuba cucu-ciciknya yang berusia 10-12 tahun.

Menurut almarhum Hj Ismail, perwatakan Hj Hassan Pendekar sebenarnya seorang periang dan ceria serta tidak pandai berbohong walaupun akalnya panjang. Menurutnya lagi ramai juga pencabar yang terkena tipu helahnya. Antara pesanan beliau untuk anak cucunya ialah:

  1. Raja jangan di lawan nanti kita di halaunya tetapi jangan di rapik (rapat) nanti kita di kuda.
  2. Masak-masakkan pecah empat.
  3. Tak semua kayu boleh di buat batang tanjak.

3 comments:

Unknown said...

Ingin tahu waris @ anak murid almarhum yg ada mengajar

Unknown said...

Boleh datang ke gelanggang Sendeng Bukit Kangkar. Kelas setiap hari khamis dan jumaat 9pm. Gelanggang diterajui oleh waris Allahyarham Haji Hamid, Tn. Ahmad Nazari (Guru Utama PSSSM)

Haiqal said...

Nak tanya haji Hassan ni ke yg anaknya mat Deni Tk silap makam haji Hassan ni di Melaka kan