Tuesday, October 21, 2025

MENJEJAKI PENDEKAR LONG MAMAT : Bahagian 1

27 September 2025

Kampung Parit Ibrahim, Pontian, Johor
“Sebelum ini belum ada sesiapa yang datang untuk mengetahui mengenai waris dan pusara Long Mamat,” ujar Tuan Haji Zaini Saat, Ketua Kampung Parit Ibrahim, suami kepada cucu Pendekar Long Mamat, Hajah Awa binti Mohd Yassin.
Dengan penuh rasa takzim, wakil Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia (2014) telah menziarahi pusara Pendekar Long Mamat, atau nama asalnya Muhamad bin Lena, tokoh yang menjadi tunjang kepada warisan ilmu dan falsafah perguruan Sendeng di bumi Melayu.

Delegasi pertubuhan diketuai oleh Dr. Jamaluddin bin A. Jalal (Guru Amanah & Guru Kejurulatihan serta Adat Istiadat), Dr. Zainal bin Dapit (Ahli Majlis Perguruan), serta pesilat muda Saudara Mohd Hazim dan Saudara Hakimi.
Dalam lawatan tersebut, pihak pertubuhan telah diberi penerangan tentang asal-usul keturunan Long Mamat oleh keluarga warisnya. Menurut Tuan Haji Zaini dan Hajah Awa, mereka menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada PSSSM 2014 kerana sudi mengambil berat tentang nasab dan pusaka perjuangan datuk mereka.

Mereka turut menyatakan hasrat untuk menaik taraf pusara Pendekar Long Mamat dengan pemasangan kepuk baharu, agar mudah dikenal dan diziarahi oleh generasi pelapis yang ingin menelusuri jejak warisan ini.
“Sesungguhnya, menziarahi pusara pendekar bukan sekadar menatap batu nisan, tetapi meneguhkan janji untuk menyambung perjuangan.”

Bahagian 2 bakal membawa kita menelusuri langkah seterusnya dalam misi mengangkat kembali nama Pendekar Long Mamat ke persada persilatan tanah air dan nusantara.
SUMBER : page fb PSSSM2014

No comments: