19 Oktober 2025
Kampung Parit Ibrahim, Pontian, Johor
Susulan daripada ziarah pertama ke pusara Pendekar Long Mamat, rombongan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia (2014) sekali lagi berkunjung ke kediaman waris keluarga bagi menyambung silaturrahim dan memperkukuh jalinan warisan.
Delegasi kali ini diketuai oleh Dr. Jamaluddin bin A. Jalal (Guru Amanah & Guru Kejurulatihan dan Adat Istiadat), disertai oleh Saudara Zohri Daud (Timbalan Presiden), Saudara Mohd Naqiuddin (Setiausaha Agung), Saudara Azli Shah, Saudara Asmawi Ismail, Saudara Nazrullizam, Saudara Naim, dan Saudara Ariff.
“Alhamdulillah, pusara Long Mamat telah diubah suai dan kini sudah dipasang kepuk. Cantiklah sikit,” ujar Tuan Haji Zaini sambil tersenyum penuh syukur.
Dalam kunjungan ini, pihak pertubuhan telah menyampaikan cenderahati dan surat penghargaan kepada keluarga waris sebagai tanda hormat kepada keturunan pendekar yang menjadi asal-usul perguruan Sendeng.
Lebih bermakna, kedua-dua pihak bersetuju untuk merangka sebuah majlis khas memperingati jasa dan perjuangan Pendekar Long Mamat, tokoh yang bukan sahaja terkenal di Tanah Melayu, bahkan di Kalimantan dan Sulawesi, Indonesia.
Langkah ini menandakan permulaan baharu dalam usaha mengangkat kembali nama Long Mamat sebagai lambang keaslian dan keagungan ilmu Silat Sendeng di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Ilmu tidak akan hilang selagi masih ada murid yang setia menjaga adab, dan masih ada guru yang ikhlas menyambung amanah.”
Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia (2014) berikrar untuk terus menjejaki dan mendokumentasikan sejarah asal perguruan agar generasi pelapis memahami dari mana datangnya ilmu yang mereka warisi...
SUMBER : PAGE PSSSM2014



No comments:
Post a Comment